Rabu, 16 Oktober 2013

KORBAN HARTA


Musim haji datang lagi. Ketika ini, sebahagian dari jutaan umat Islam dari seluruh dunia, sedang berhimpun di Makkatul Mukarramah, menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima. Menunjukkan betapa gemilangnya agama ini kerana tidak kira apa bangsa, pangkat dan keturunan, masing-masing merendahkan diri dengan hanya satu niat, mengabdikan diri kepada Allah Azza Wajalla.

Kepada yang tidak berkemampuan dari segi syarak untuk mengerjakan ibadah haji, peluang mengabdikan diri kepada Allah sentiasa terbuka luas.

Ibadah korban yang dilakukan oleh para jemaah haji di Mekah masih mampu dilakukan oleh umat Islam yang lain di seluruh pelusuk dunia, kerana ia juga suatu bentuk ‘penyerahan’ kepada Allah.

Perkataan korban atau ‘Qurban’ itu sendiri datang dari bahasa Arab ‘Taqarrub’ yang bermaksud merapat, mendekat, hampir dan akrab. Ini bermakna, keikhlasan dan ketaatan dalam menjalankan suruhan Allah itu yang menjadikan kita semakin dekat dan hampir kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ia merupakan suatu pelaburan untuk kehidupan selepas kematian kelak.

Maka bagi mereka yang mampu, ‘pengorbanan’ sebanyak RM300 - RM500 untuk satu bahagian haiwan korban boleh dilakukan. Itupun setahun sekali, atau mungkin sekali seumur hidup.

Dalam konteks harta, adakah ‘pengorbanan harta’ kita setakat itu sahaja. Sedangkan Allah S.W.T mengurniakan rezeki dan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepada kita di atas muka bumi ini.

Ramai di kalangan kita sanggup ‘berkorban’ ratusan malah ribuan ringgit untuk memandu kereta impian, memiliki rumah idaman, bercuti di serata dunia, menonton rancangan kegemaran melalui televisyen 40”, menambah modal membesarkan perniagaan, menabung dan membayar pendidikan anak-anak, menyimpan untuk hari tua, membeli pakaian yang cantik-cantik dan lain-lain.

Pengorbanan sebegitu adalah sangat penting demi kehidupan kita di dunia ini. Namun perlu diingat, ianya sekadar ‘jambatan’ untuk suatu kehidupan yang lebih kekal suatu masa nanti.

Ada yang lebih hebat lagi, sanggup ‘berkorban’ ratusan ringgit sebulan untuk membeli ‘racun berasap’ yang masuk ke dalam tubuh, yang terbukti secara saintifik memudaratkan kesihatan dan difatwakan HARAM oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bayangkan, berapa banyak wang ringgit yang telah kita ‘korban’kan hanya untuk urusan dunia yang sangat sementara ini.

Cuba ‘pause’ sejenak dan berfikir, berapa banyak pula harta yang telah kita ‘korban’kan untuk agama Allah S.W.T.? Berapa banyak yang sanggup kita ‘korban’kan untuk pelaburan selepas kematian? Sedangkan semua kita maklum kehidupan selepas kematian adalah sangat panjang dan kekal selama-lamanya.

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasullullah S.A.W bersabda: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' – Hadith Riwayat Muslim

Kenapa tidak kita KURANGKAN pelaburan kenderaan di dunia dan LEBIHKAN pelaburan untuk perjalanan hidup daripada sakaratulmaut sehingga mencapai syurga Allah?

Kenapa tidak kita KURANGKAN belanja pergi ke serata dunia untuk melancong dan LEBIHKAN belanja untuk mencari ilmu (walau di tanahair sendiri) demi mendapat sebidang tanah di syurga Allah yang keluasannya tidak dapat digambarkan?

Kenapa tidak kita KURANGKAN pelaburan rumah dan hartanah di dunia dan LEBIHKAN pelaburan mahligai yang indah di syurga Allah di akhirat kelak?

Kenapa tidak kita KURANGKAN belanja untuk kemewahan di dunia dan LEBIHKAN belanja untuk MERINGANKAN AZAB di alam barzakh kelak?

Kenapa tidak kita masukkan di dalam belanjawan bulanan kita untuk merancang harta pusaka yang pasti kita tinggalkan nanti?

Oleh yang demikian, carilah ilmu dan maklumat untuk LEBIHKAN pelaburan akhirat dalam bentuk WASIAT, AMANAH, HIBAH, TAKAFUL,WAKAF dan lain-lain, dan mulalah merancang Pembahagian Harta Pusaka anda.

Salam ‘Eidul Adha, semoga dapat bertemu untuk merangka perancangan harta pusaka anda… Sila e-mel ke muzafar@pintarpusaka.com sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkenaan harta pusaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan