Isnin, 21 Oktober 2013

Perancangan Harta Pusaka, Pilihan atau Tanggungjawab?


Ramai di antara kita telah mempunyai kesedaran tentang pentingnya merancang kewangan. Kita berusaha mencipta harta dengan bekerja untuk mendapat gaji atau berniaga untuk mendapat keuntungan, kita melindungi pendapatan dan harta kita dengan menyertai pelan takaful atau insurans dan seterusnya membuat pelaburan sama ada dalam bidang ekuiti, unit amanah, hartanah dan sebagainya.

Namun, amat sedikit yang sedar tentang pentingnya merancang pembahagian harta yang bakal kita tinggalkan setelah kita 'dijemput' mengadap Ilahi nanti.

Islam amat menekankan betapa pentingnya merancang harta pusaka ke atas umatnya kerana terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W. yang menyatakannya.

Firman Allah S.W.T.:
"Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa"
Surah An-Baqarah (ayat 180)

Hayatilah maksud ayat di atas sedalam-dalamnya dan jawaplah persoalan berikut:

MERANCANG HARTA PUSAKA, PILIHAN ATAU TANGGUNGJAWAB?



RANCANGLAH HARTA PUSAKA ANDA

Ramai di kalangan masyarakat kita yang masih mempunyai sikap yang agak negatif apabila membincangkan isu pembahagian harta pusaka.

Apabila seseorang anak cuba mengajak ahli keluarga untuk membincangkan perkara tersebut, maka akan ada di kalangan ahli keluarga yang lain yang membantah atas alasan kepentingan dan emosi semata-mata.

Sememangnya isu berkaitan harta pusaka sangat sensitif di kalangan masyarakat di negara kita terutama masyarakat Melayu Islam, sedangkan harta pusaka yang bakal ditinggalkan kepada waris-waris,  sangat-sangat perlu dirancang sebelum pemilik harta meninggal dunia.

 Ini kerana, sangat banyak masalah yang bakal timbul sekiranya harta pusaka tidak dirancang. Bukan sahaja kepada para waris, bahkan juga kepada si mati.

Waris-waris akan dibebankan dengan proses perundangan yang kompleks, pentadbiran pusaka yang rumit, perselisihan dan pertelingkahan keluarga, pembahagian yang tidak mengikut syarak, tuntutan pihak-pihak ketiga, generasi waris-waris yang berlapis-lapis dan sebagainya.

Kepada si mati, pastinya dia akan diazab di alam barzakh disebabkan kecuaiannya tidak belajar dan tidak mengajar waris-warisnya tentang kepentingan pembahagian faraid, sehinggakan tanpa disedari waris-warisnya memakan hak orang lain. Lebih-lebih lagi hak anak-anak yatim yang mana ia merupakan salah satu dari dosa besar.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran: “ dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah DOSA YANG BESAR. – Surah An-Nisa’ (ayat 2)

Seandainya merancang pembahagian harta pusaka itu tidak penting, maka tiadalah kaedah-kaedah perancangan pusaka seperti wasiat, hibah, amanah, takaful dan sebagainya.

Wasiat misalnya, umat Islam amat-amatlah digalakkan untuk menyediakannya.

Firman Allah S.W.T: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan ke atas orang-orang yang bertaqwa.” – Surah al-Baqarah (ayat 180)

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,  Rasulullah S.A.W. bersabda: Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diWasiatkan untuk tidur dua malam kecuali Wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya.” – Sahih Bukhari (Vol. IV p.1)

Apakah ada saranan yanglebih penting dari saranan dari Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W.?

Hampir semua daripada anda ada mempunyai rumah, kereta, barang berharga, wang simpanan, ASB & Unit Amanah, Takaful atau insurans, KWSP dan lain-lain, termasuk HUTANG. Semua yang saya sebutkan tadi bakal menjadi pusaka anda.

Sudi-sudilah menghubungi saya di talian 019-472 6752 untuk sama-sama duduk berbicang berkenaan perancangan pusaka anda. Sila e-melkan sebarang kemusykilan ke muzafar@pintarpusaka.com atau layari http://pintarpusaka.com/ untuk perkongsian ilmu berkenaan harta pusaka.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil.........” (An Nisaa’: 29)

"Tidak halal mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya." (HR. Abu Daud dan Daruquthni)

"Barangsiapa yang mengambil harta saudaranya dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan masuk surga. Lalu ada seorang yang bertanya, "Wahai Rasulullah, meskipun hanya sedikit?" Beliau menjawab, "Meskipun hanya sebatang kayu araak (kayu untuk siwak)."(HR Muslim)



Sila hubungi:

Muzafar Ghazali
019 - 472 6752
muzafar@pintarpusaka.com



Khidmat yang ditawarkan:
-SALIHIN TRUSTEE BERHAD - Pakar Perancangan Harta Pusaka Islam
-TAKAFUL IKHLAS SDN BHD - Perlindungan Takaful Keluarga & Takaful Am

Rabu, 16 Oktober 2013

KORBAN HARTA


Musim haji datang lagi. Ketika ini, sebahagian dari jutaan umat Islam dari seluruh dunia, sedang berhimpun di Makkatul Mukarramah, menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima. Menunjukkan betapa gemilangnya agama ini kerana tidak kira apa bangsa, pangkat dan keturunan, masing-masing merendahkan diri dengan hanya satu niat, mengabdikan diri kepada Allah Azza Wajalla.

Kepada yang tidak berkemampuan dari segi syarak untuk mengerjakan ibadah haji, peluang mengabdikan diri kepada Allah sentiasa terbuka luas.

Ibadah korban yang dilakukan oleh para jemaah haji di Mekah masih mampu dilakukan oleh umat Islam yang lain di seluruh pelusuk dunia, kerana ia juga suatu bentuk ‘penyerahan’ kepada Allah.

Perkataan korban atau ‘Qurban’ itu sendiri datang dari bahasa Arab ‘Taqarrub’ yang bermaksud merapat, mendekat, hampir dan akrab. Ini bermakna, keikhlasan dan ketaatan dalam menjalankan suruhan Allah itu yang menjadikan kita semakin dekat dan hampir kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ia merupakan suatu pelaburan untuk kehidupan selepas kematian kelak.

Maka bagi mereka yang mampu, ‘pengorbanan’ sebanyak RM300 - RM500 untuk satu bahagian haiwan korban boleh dilakukan. Itupun setahun sekali, atau mungkin sekali seumur hidup.

Dalam konteks harta, adakah ‘pengorbanan harta’ kita setakat itu sahaja. Sedangkan Allah S.W.T mengurniakan rezeki dan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepada kita di atas muka bumi ini.

Ramai di kalangan kita sanggup ‘berkorban’ ratusan malah ribuan ringgit untuk memandu kereta impian, memiliki rumah idaman, bercuti di serata dunia, menonton rancangan kegemaran melalui televisyen 40”, menambah modal membesarkan perniagaan, menabung dan membayar pendidikan anak-anak, menyimpan untuk hari tua, membeli pakaian yang cantik-cantik dan lain-lain.

Pengorbanan sebegitu adalah sangat penting demi kehidupan kita di dunia ini. Namun perlu diingat, ianya sekadar ‘jambatan’ untuk suatu kehidupan yang lebih kekal suatu masa nanti.

Ada yang lebih hebat lagi, sanggup ‘berkorban’ ratusan ringgit sebulan untuk membeli ‘racun berasap’ yang masuk ke dalam tubuh, yang terbukti secara saintifik memudaratkan kesihatan dan difatwakan HARAM oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bayangkan, berapa banyak wang ringgit yang telah kita ‘korban’kan hanya untuk urusan dunia yang sangat sementara ini.

Cuba ‘pause’ sejenak dan berfikir, berapa banyak pula harta yang telah kita ‘korban’kan untuk agama Allah S.W.T.? Berapa banyak yang sanggup kita ‘korban’kan untuk pelaburan selepas kematian? Sedangkan semua kita maklum kehidupan selepas kematian adalah sangat panjang dan kekal selama-lamanya.

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasullullah S.A.W bersabda: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' – Hadith Riwayat Muslim

Kenapa tidak kita KURANGKAN pelaburan kenderaan di dunia dan LEBIHKAN pelaburan untuk perjalanan hidup daripada sakaratulmaut sehingga mencapai syurga Allah?

Kenapa tidak kita KURANGKAN belanja pergi ke serata dunia untuk melancong dan LEBIHKAN belanja untuk mencari ilmu (walau di tanahair sendiri) demi mendapat sebidang tanah di syurga Allah yang keluasannya tidak dapat digambarkan?

Kenapa tidak kita KURANGKAN pelaburan rumah dan hartanah di dunia dan LEBIHKAN pelaburan mahligai yang indah di syurga Allah di akhirat kelak?

Kenapa tidak kita KURANGKAN belanja untuk kemewahan di dunia dan LEBIHKAN belanja untuk MERINGANKAN AZAB di alam barzakh kelak?

Kenapa tidak kita masukkan di dalam belanjawan bulanan kita untuk merancang harta pusaka yang pasti kita tinggalkan nanti?

Oleh yang demikian, carilah ilmu dan maklumat untuk LEBIHKAN pelaburan akhirat dalam bentuk WASIAT, AMANAH, HIBAH, TAKAFUL,WAKAF dan lain-lain, dan mulalah merancang Pembahagian Harta Pusaka anda.

Salam ‘Eidul Adha, semoga dapat bertemu untuk merangka perancangan harta pusaka anda… Sila e-mel ke muzafar@pintarpusaka.com sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkenaan harta pusaka.

Sabtu, 5 Oktober 2013

IKHLAS

IKHLAS adalah suatu perkataan yang sangat memberi impak kepada yang mendengarnya. Perkataan ikhlas biasanya dikaitkan dengan melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan. Ikhlas melambangkan ketulusan hati, diterjemahkan dengan tindakan yang penuh tanggungjawab, secara sukarela tanpa paksaan dan seterusnya membuatkan orang sekeliling merasa sangat terkesan dan ingin selalu mendekati.

Dalam Islam, ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa melebihi keinginan mendapatkan keuntungan dunia semata-mata.

Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”

Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :
“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”

Merancang pembahagian harta pusaka bukan sekadar mengagihkan harta yang bakal kita tinggalkan kepada waris-waris, lebih dari itu, perancangan pusaka adalah untuk kita menginfakkan sebahagian dari harta yang kita cari sepanjang hidup kita ke jalan yang diredhai Allah.

Tanpa keikhlasan, segala amal jariah dan infak harta kita itu akan menjadi sia-sia. Apa yang sepatutnya kita takuti ialah harta yang kita cari berubah menjadi HARAM sekiranya tidak dirancang pembahagiannya dengan betul dan teliti. Ini boleh terjadi sekiranya harta yang kita tinggalkan tidak dibahagikan menurut hukum syarak dan waris (selalunya penama) mengambil hak waris yang lain, tidak melunaskan hak si mati dan memakan hak anak yatim.

Di dalam perancangan kewangan Islam, merancang perlindungan kewangan adalah salah satu daripada cabang merancang pusaka. Konsep perlindungan Islam yang dimaksudkan adalah pelan TAKAFUL di mana elemen saling menjamin, bantu-membantu dan ihsan menjadi faktor penting dalam aqadnya.

Ia amat bertepatan dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”. (Surah Al-Ma’idah : 2)

Tanpa keikhlasan, amalan tolong-menolong hanya akan membawa kepada kehancuran dan kemurkaan Allah S.W.T.

5 Unsur Yang Menyebabkan Perniagaan Menjadi HARAM!!!


Peringatan kepada diri sendiri & para peniaga/usahawan di luar sana... Kalau sanggup berhabis ribuan ringgit & masa untuk ilmu memantapkan perniagaan (pemasaran, akaun, networking dll), sepatutnya MESTI sanggup berhabis LEBIH lagi untuk mendalami ilmu muamalat Islam kerana setiap sen akan ditanya di hadapan Allah nanti...
 


Ahad, 29 September 2013

Andaiku tahu...

Semoga memberi keinsafan...



Ahad, 8 September 2013

Selamat Menunaikan Ibadah Haji



Kematian datang tanpa disangka & tentunya kita mengharapkan biarlah kematian kita dalam keadaan yang baik, pada masa yang baik dan di tempat yang baik.
Wasiat adalah perancangan pusaka terbaik sebagai persediaan anda. Bukan sekadar untuk manfaat waris yang bakal anda tinggalkan meneruskan kehidupan di dunia, bahkan untuk anda 'memulakan kehidupan' di 'sana' nanti.
Kepada bakal haji saya doakan semoga mendapat haji mabrur dan sejahtera sepanjang berada di Tanah Suci.

Muzafar Ghazali
Perancang Pusaka, As-Salihin Trustee Bhd
019-4726752

Jumaat, 6 September 2013

Penama hanyalah Wasi (Pentadbir Pusaka).

 
Boleh dikatakan kita semua mempunyai pelan takaful, simpanan di dalam Dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, saham-saham koperasi, akaun Tabung Haji dan sebagainya. Cumanya, ramai yang tidak tahu apakah fungsi PENAMA di dalam sumber-sumber tersebut.
Ramai yang menyangkakan penama yang dinamakan di dalam sumber-sumber tersebut adalah orang yang mendapat manfaat terus daripadanya. Pada mereka, apabila pemilik akaun dana-dana tersebut meninggal dunia, maka merekalah mendapat hak mutlak wang tersebut. Lalu mereka belanjakannya untuk meneruskan kehidupan, membeli makanan, membayar bil-bil, membayar belanja persekolahan dan sebagainya.
Walaupun wang itu bukanlah digunakan untuk tujuan sia-sia bahkan keperluan, tetapi amat malang, disebabkan kejahilan dan kurangnya ilmu berkenaan pusaka terutamanya FARAID, maka mereka berdosa tanpa mereka sedari.
Faraid WAJIB dibuat selepas kematian, tetapi adalah sangat bijak jika digunakan sebagai panduan untuk merancang pusaka.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 pada 10 September 2000, telah membuat keputusan bahawa:
 Penama di dalam dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Simpanan Pejabat Pos, Bank, Syarikat Insurans dan Kesatuan Kerjasama adalah seperti orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau yang membuat wasiat.  Orang-orang itu boleh menerima wang si mati dari punca-punca yang disebut itu untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak mengikut undang-undang Islam mengenai warisan.”
 
Kita ambil contoh seorang suami menyertai satu pelan Takaful (bukannya insurans konvensional kerana ianya adalah HARAM untuk orang Islam, sila rujuk http://www.islam.gov.my/muamalat/artikel/menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram) dan meletakkan isterinya sebagai penama. Dia menyangkakan penama tersebut adalah orang yang berhak menggunakan wang tersebut untuk meneruskan kehidupan. Ditambah pula dengan kata-kata agen atau wakil takaful yang sangat mengujakan dengan menyertakan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadith betapa pentingnya meninggalkan harta kepada waris-waris. Apatah lagi ada agen yang mengatakan pampasan wang itu adalah WASIAT kepada waris tanpa mengkaji dengan mendalam apakah yang dinamakan wasiat dan juga tanpa menyelidiki tahap kefahaman prospek dihadapannya berkenaan wasiat.
Apabila suami tersebut meninggal dunia, maka cek akan diserahkan kepada isterinya yang diletakkan sebagai penama tadi.
Sekiranya agen atau pihak syarikat tidak menyatakan bahawa walaupun beliau dinamakan sebagai penama, namun fungsi beliau hanyalah bertindak sebagai WASI atau Pentadbir Pusaka sahaja. Dalam kes ini, beliau hanyalah orang yang layak mengambil wang pampasan itu daripada syarikat takaful tersebut tetapi MESTI menguruskan hal-hal pusaka arwah suaminya dahulu sebelum boleh menggunakannya.
Sekiranya tiada sumber-sumber lain, wang pampasan itu mesti digunakan untuk melangsaikan urusan hutang-piutang arwah, ataupun ada wasiat yang pernah dipesan semasa hidupnya, maka perlu diselesaikan dahulu. Baki pampasan takaful tersebut WAJIB DIFARAIDKAN kepada waris-waris tertentu yang masih hidup.
Tetapi dalam realiti kehidupan sekarang, terlalu ramai yang terlepas pandang hal tersebut. Si isteri yang masih trauma akibat ‘kehilangan’ suami tercinta, bingung memikirkan masalah kewangan yang bakal menjelma dan kadang-kadang tekanan daripada ipar-duai mengakibatkan si isteri tadi ‘terlupa’ memikirkan fungsinya sebagai penama dan terus menggunakan wang tersebut sesuka hati untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya.
Bayangkan dosa-dosa yang mungkin terpaksa si isteri tanggung iaitu hak arwah suami dalam menyelesaikan hutangnya tidak tertunai, hak ibubapa arwah suami (sekiranya masih hidup) tidak diberikan dan lebih besar lagi dosa si isteri tersebut apabila beliau memakan harta anak-anaknya yang masih kecil (anak yatim).
Adakah arwah si suami terlepas apabila isterinya yang masih hidup melakukan dosa tersebut? Tentu sekali tidak, dia akan dipertanggungjawabkan kerana tidak mencari ilmu tentang pusaka yang ditinggalkannya, dipertanggungjawabkan kerana tidak memberitahu waris-warisnya dan dipertanggungjawabkan kerana tidak membuat/merancang sesuatu supaya warisnya tidak melakukan dosa-dosa tersebut.
Saya pernah berpengalaman bertemu dengan beberapa orang yang mengalami situasi sebegini. Pengalaman seorang balu sangat sesuai dijadikan pengajaran, mudah-mudahan Allah s.w.t. mengganjari beliau dengan pahala apabila kita mengambil iktibar daripadanya.
Apabila saya ceritakan kepada beliau bahawa penama hanyalah pentadbir pusaka dan saya ceritakan dosa-dosa yang tidak sengaja dilakukan tersebut, saya dapat lihat ‘riak muka‘ beliau yang berubah dengan sangat drastik.
Beliau mengakui tidak tahu hal tersebut dan telah pun menggunakan wang peninggalan suaminya (beliau tidak memberitahu samaada wang tersebut dari sumber-sumber KWSP atau TAKAFUL) tanpa difaraidkan terlebih dahulu. Bayangkan sepanjang setahun lebih beliau menggunakannya, berapa banyak yang telah beliau gunakan.
Saya menasihati beliau untuk mengumpulkan baki wang yang masih ada dan berbincanglah dengan waris-waris yang lain (anak-anaknya dan ibubapa arwah suaminya). Katakan kesilapannya, selesaikan segala hutang dan wasiat (sekiranya ada) si mati, serahkan hak faraid mereka dengan baki yang ada (tambah duit sendiri sekiranya ada) dan berjanji akan membayar balik baki dari apa yang telah diambil sehinggalah selesai hak faraid mereka. Andainya mereka sudah mengetahui nilai faraid mereka dan mereka mengHALALkan baki atau keseluruhan wang yang diambil sebelum ini, maka barulah lepas balu tersebut daripada dosanya mengambil hak faraid tadi.
Saya tidak bertanyakan sama ada ibubapa arwah masih hidup atau sudah meninggal dunia. Bayangkan sekiranya semasa arwah meninggal dunia, ibubapanya masih hidup. Maka ada hak faraid mereka di situ. Katakan selepas beberapa bulan salah seorang daripada mereka meninggal dunia, keadaan menjadi bertambah rumit kerana si balu tadi terpaksa pula berurusan dengan ipar duai yang mungkin menetap di serata Malaysia. Keadaan tentu menjadi bertambah rumit.
Bayangkan pula seandainya harta suami bukan sahaja berada di Semenanjung Malaysia, bahkan ada yang berada di Sabah Sarawak ataupun di luar Negara, tentu terlalu banyak wang yang terpaksa dibelanjakan dan banyak masa yang terpaksa dibazirkan semata-mata menyelesaikan harta peninggalan suami yang takkan kekal sampai bila-bila dan kita juga akan meninggalkannya suatu hari nanti.
Kepada para suami, mahukah perkara seperti ini terjadi kepada isteri anda dan puan-puan sebagai isteri relakah bersusah payah sebegini?
Sanggupkah puan-puan bersusah-payah semata-mata sesuatu yang tidak kekal dan tak akan dibawa bersama di dalam kubur nanti?
Untuk mengelakkan masalah-masalah seperti ini dari berlaku, kesedaran tentang fungsi penama perlu diambil perhatian. Suami isteri perlu tahu hak faraid waris-waris mereka, agen-agen atau pegawai-pegawai di sumber-sumber dana tersebut (Takaful, KWSP, Tabung Haji, Koperasi dan sebagainya) perlu mempunyai ilmu atau maklumat berkenaan faraid dan mesti menerangkannya kepada para pelanggan mereka.
Takaful IKHLAS Sdn Bhd misalnya telah mengambil inisiatif menyediakan Borang Badal Haji untuk kemudahan urusan mengerjakan Upah Haji sekiranya peserta belum menunaikan ibadah haji semasa meninggal dunia sepanjang tempoh polisi takafulnya berkuatkuasa. Dengan itu, waris atau pasangan peserta tersebut tidak perlu lagi bersusah-payah memikirkan bagaimana menyelesaikan urusan upah haji pasangannya.
Dalam merancang faraid, Takaful IKHLAS Sdn Bhd menyediakan Borang Cadangan Hibah bertujuan untuk mengurangkan risiko para waris mengambil hak faraid waris-waris lain. Walaupun pada dasarnya hibah boleh dilakukan kepada sesiapa sahaja, namun pihak pengurusan TISB mensyaratkan Penerima Hibah adalah terdiri dari kalangan keluarga & Badan Amal demi menjaga kepentingan waris-waris peserta dan juga sebagai Amal Jariah peserta tersebut selepas beliau meninggal dunia.
Sebagai pengakhir kata, rancanglah harta yang bakal kita tinggalkan sebaik mungkin. Bukan sekadar untuk dimanfaatkan sebaiknya oleh waris-waris kita tetapi untuk di’manfaat’kan oleh diri kita sendiri di ‘sana’ nanti.
Sila hubungi saya di talian 019-472 6752 atau e-mel ke muzafar@pintarpusaka.com untuk merancang berkenaan Faraid & Hibah dalam Takaful.


Isnin, 1 April 2013

Status Syarikat MCIS Zurich.

Takaful atau Konvensional?

Sila layari http://www.zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/825-status-insuran-mcis-zurich--takaful-atau-konvensional.html untuk pencerahan.


وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya : “Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”. (Surah Al-Baqarah: 275)

Sekadar usaha mencegah mungkar. AWAS bahaya riba!!! Diharap umat Islam berhati-hati dengan muamalat yang dilakukan, tidak kira anda sebagai pelanggan ataupun wakil.

Di akhirat nanti, menyesal sudah tidak berguna lagi...