Sabtu, 5 Oktober 2013

IKHLAS

IKHLAS adalah suatu perkataan yang sangat memberi impak kepada yang mendengarnya. Perkataan ikhlas biasanya dikaitkan dengan melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan. Ikhlas melambangkan ketulusan hati, diterjemahkan dengan tindakan yang penuh tanggungjawab, secara sukarela tanpa paksaan dan seterusnya membuatkan orang sekeliling merasa sangat terkesan dan ingin selalu mendekati.

Dalam Islam, ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa melebihi keinginan mendapatkan keuntungan dunia semata-mata.

Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”

Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :
“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”

Merancang pembahagian harta pusaka bukan sekadar mengagihkan harta yang bakal kita tinggalkan kepada waris-waris, lebih dari itu, perancangan pusaka adalah untuk kita menginfakkan sebahagian dari harta yang kita cari sepanjang hidup kita ke jalan yang diredhai Allah.

Tanpa keikhlasan, segala amal jariah dan infak harta kita itu akan menjadi sia-sia. Apa yang sepatutnya kita takuti ialah harta yang kita cari berubah menjadi HARAM sekiranya tidak dirancang pembahagiannya dengan betul dan teliti. Ini boleh terjadi sekiranya harta yang kita tinggalkan tidak dibahagikan menurut hukum syarak dan waris (selalunya penama) mengambil hak waris yang lain, tidak melunaskan hak si mati dan memakan hak anak yatim.

Di dalam perancangan kewangan Islam, merancang perlindungan kewangan adalah salah satu daripada cabang merancang pusaka. Konsep perlindungan Islam yang dimaksudkan adalah pelan TAKAFUL di mana elemen saling menjamin, bantu-membantu dan ihsan menjadi faktor penting dalam aqadnya.

Ia amat bertepatan dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”. (Surah Al-Ma’idah : 2)

Tanpa keikhlasan, amalan tolong-menolong hanya akan membawa kepada kehancuran dan kemurkaan Allah S.W.T.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan