Jumaat, 3 Julai 2015

RAMADHAN: Merancang Pusaka, Mencari Taqwa...


Ramadhan datang lagi… Insya Allah selagi tak tiba kiamat, Ramadhan akan tetap datang.

Cuma kita yang mungkin tak akan ada lagi untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang. Jangan kan akan datang, esok pun belum tentu…

Walaubagaimanapun, berbanyaklah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. masih lagi mengizinkan kita menyedut oksigen yang dikurniakan olehNya melalui dua lubang hidung dan rongga paru-paru kita (juga yang dikurniakan olehNya) sehingga ke hari ini, hingga ke saat ini.

Dan kita sedang berada di bulan yang sangat diberkati, bulan yang penuh rahmat dan keampunan daripada Allah s.w.t. Bulan di mana Allah s.w.t. memberi peluang kepada kita menjadi orang yang bertaqwa.

Firman Allah s.w.t.:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.
Surah Al-Baqarah : 183

Untuk mencari taqwa, sebaiknya kita ketahui dulu ciri-ciri orang bertaqwa. Allah s.w.t. telah menyenaraikan ciri-ciri tersebut di dalam Al-Quran contohnya di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 2-5:

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (2) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3) Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). (4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)”

Begitu juga di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 177 iaitu:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.”

Dalam konteks mencari taqwa dalam merancang pusaka, eloklah difahamkan kenapa perlu merancang pusaka.

Dengan sedikit ilmu yang Allah s.w.t. kurniakan kepada saya dan demi mudah difahami oleh orang kebanyakan, saya ringkaskan keperluan merancang pusaka kepada dua bahagian, iaitu:

1.      Sebagai ikhtiar meringankan ‘beban’ yang terpaksa ditanggung oleh waris-waris, yang juga saya bahagikan kepada dua bahagian:

a)    Beban menguruskan pentadbiran pusaka si mati – Waris terpaksa melayan kerenah sistem perundangan yang merumitkan, kerenah waris-waris faraid, kerenah emosi waris-waris yang TIADA hak faraid serta kos/perbelanjaan yang terpaksa dikorbankan.

b)    Beban dosa disebabkan harta yang ditinggalkan si mati – Dosa menzalimi waris lain (memalsu dokumen, menipu, putus silaturrahim dan lain-lain), dosa memakan hak faraid waris yang berhak, dosa memakan hak si mati dan dosa memakan hak anak yatim.

 

2.      Sebagai salah satu ikhtiar untuk memulakan kehidupan di sana, seperti sabda baginda Rasulullah s.a.w.:

"Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada hari Kiamat sehingga selesai ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya untuk apa dihabiskan; tentang masa mudanya untuk apa dipergunakan; tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan; tentang ilmunya apa yang sudah dibuat dengannya.” - Hadis Riwayat Tirmizi dan Darami

Kita wajib mempercayai bahawa kita akan dipertanggungjawabkan tentang harta kita, adakah sumber kita mendapat harta itu dan juga cara kita membelanjakannya, termasuk bagaimana kita mewariskannya kepada waris-waris kita, benar-benar berlandaskan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

INGAT… Merancang pusaka bukanlah sekadar semata-mata ikhtiar untuk membahagiakan waris-waris yang bakal ‘ditinggalkan’.

LEBIH PENTING LAGI... IA SEBAHAGIAN DARI IKHTIAR UNTUK MENGECAPI KEHIDUPAN YANG LEBIH BAIK DI ALAM SELEPAS KEMATIAN.

Maka bila kita sudah mengimani akan adanya timbangan amal dan perbicaraan di hadapan Allah s.w.t. di akhirat nanti, sewajarnyalah kita berusaha merancang sesuatu iaitu menginfaqkan sebahagian daripada harta kita dengan kaedah-kaedah perancangan Pusaka Islam yang lebih bijaksana seperti:

1.    Membuat WASIAT – iaitu melantik Wasi yang bakal dipertanggungjawabkan untuk mengurus/mentadbir harta pusaka kita selepas meninggal dunia, di samping membuat arahan untuk menginfaqkan sebahagian dari harta pusaka kita (maksima 1/3) ke jalan Allah s.w.t.

2.    Memberi HIBAH – iaitu pertukaran hakmilik secara mutlak kepada waris-waris atau kepada pihak-pihak tertentu terutamanya sekolah-sekolah agama, maahad-maahad tahfiz, masjid-masjid, surau-surau atau yang seumpama dengannya, SEMASA HIDUP.

3.    Melantik PEMEGANG AMANAH – iaitu seseorang atau sesebuah organisasi yang akan menunaikan hasrat dan menguruskan harta yang telah anda amanahkan kepadanya demi kepentingan benefisiari-benefisiari tertentu sama ada para waris atau badan kebajikan.

4.    Membuat WAKAF – sama ada semasa hidup atau diwasiatkan untuk kegunaan awam.

5.    Membuat DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN – iaitu sebagai mengiktiraf sumbangan pasangan rumahtangga masing-masing supaya hak mereka terpelihara.

6.    Menyertai PELAN PERLINDUNGAN TAKAFUL – memastikan syarikat yang dipilih adalah yang terbaik fikrah Islamnya, bukan sekadar sebagai usaha melindungi harta tetapi juga sebagai pelengkap kepada perancangan pusaka anda, mudah-mudahan kita mampu menjawap persoalan “tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.”

Kesemua kaedah di atas adalah IKHTIAR, semoga kita berada di landasan yang betul ke arah taqwa seperti yang dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 3) di dalam Al-Quran.

Wallahu a’lam…

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan