Rabu, 1 Oktober 2014

INFO PUSAKA: HARGA BARANG NAIK… JANGAN SAMPAI IMAN TURUN.





Malam Khamis…

2 Oktober 2014…

12:01 pagi…

 

Berita kenaikan harga petrol RON95 sebanyak RM0.20 seliter menjadi perbincangan hangat lagi!!! Berita yang sama pernah kita dengar dulu. Bukan sekali, tapi dah banyak kali. Setiap kali akan ada orang yang merungut. Sangat sedikit yang memuji.

Dari satu sudut, ada pihak mengatakan kenaikan ini adalah baik kerana subsidi yang dikurangkan dapat digunakan untuk kebajikan rakyat.

Dikatakan banyak infrastruktur dapat disediakan, banyak pembangunan dapat dimajukan, lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat diberi bantuan dan penyeludupan petrol dapat dikurangkan.

Namun dari sudut yang lain pula, ada yang pihak mempertikai alasan tersebut.

Kata mereka, apa guna infrastruktur yang banyak tetapi mutu pembinaan sangat teruk, cepat rosak dan terpaksa menggunakan kos baikpulih yang banyak.

Kata mereka, pembangunan material yang dimajukan tidak seimbang dengan pembangunan rohani.

Kata mereka, bantuan yang diberikan adalah umpama ‘ikan’ dan bukannya ‘pancing’.

Kata mereka, kurangkan rasuah, lebihkan penguatkuasaan dan bukannya menaikkan harga bahanapi…

 
Apa pun kata mereka, sama ada menyokong atau tidak, ia tetap akan naik. Kalau tidak sekarang, suatu hari nanti akan naik juga dan pastinya kenaikan bahanapi itu akan turut memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian.

 
Dalam pada itu, ada yang akan turun…

Kengkawan kata, hujan turun, subsidi turun, nilai wang turun, jumlah kereta atas jalan turun (ramai yg naik public transport kut) dan macam-macam lagi.
 

Sememangnya dalam kegawatan sebegini, kita perlulah lebih berusaha meningkatkan pendapatan masing-masing. Namun apa yang merisaukan, bila dah masing-masing ‘terlalu’ risau kenaikan harga barang, ‘terlalu’ risau pendapatan yang berkurang, ‘terlalu’ risau tak mampu bayar bil telefon, bil letrik, astro dan lain-lain, maka makin ramailah yang akan terjebak dengan ‘fitnah dunia’.

Apabila semakin ramai yang berlumba-lumba mengejar duit, maka semakin menurun/berkuranglah yang mengejar pahala dan syurga.

Apabila semakin ramai yang sibuk di pejabat atau premis perniagaan, maka semakin menurun/berkuranglah yang akan berjemaah ataupun mendengar kuliah di masjid.

Apabila semakin ramai yang mencongak-congak belanjawan harian, maka semakin menurun/kuranglah yang mengira untuk bersedekah dan menderma.

Apabila semakin ramai yang sibuk bersama pelanggan, majikan dan pekerja, maka semakin menurun/kuranglah masa mereka bersama anak-anak, bersama jiran tetangga dan ibubapa.

Apabila semakin ramai yang terjebak dengan emosi dan nafsu, maka semakin menurun/kuranglah kawalan iman dan akal mereka.
 

Benarlah firman Allah s.w.t di dalam al-Quran (Surah At-Takathur: 1-2):

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1)
Sehingga kamu masuk kubur. (2)

 
Janganlah disebabkan kenaikan kos sara hidup ini… menurunkan tahap keimanan kita sehingga kita lupa batas-batas syara’.
 

Oleh yang demikian, janganlah sampai keresahan dan kerisauan kita mencari penyelesaian masalah kehidupan di dunia, melupakan kita tentang suatu kehidupan yang lebih lama dan kekal… iaitu kehidupan selepas KEMATIAN!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan