Ahad, 30 Ogos 2015

Info PUSAKA: MERDEKA vs BERSIH!!!




MERDEKA!

MERDEKA!

MERDEKA!

BERSIH!

BERSIH!

BERSIH!

Sejak dua menjak ni, antara topik yang agak hangat di media sosial adalah BERSIH dan MERDEKA. Dua perkataan yang baik dan positif, yang sememangnya disukai oleh semua orang.

Sabar… apa yang nak saya sembangkan bukanlah ada apa-apa kaitan dengan isu yang sedang hangat sekarang ni. Apa yang mereka perjuangkan terpulang kepada niat masing-masing, yang mana hanya Allah subhanahu wa ta’ala saja yang mengetahui (kerana kadang-kadang manusia tu sendiri tidak pasti apa niat mereka). Saya tidak berpihak pada mana-mana pihak.

Pengertian BERSIH dan MERDEKA itu luas, dan kadang-kala menjadi subjektif kepada sebilangan orang.

Fokus saya hanyalah pada HARTA yang tuan-tuan dan puan-puan cari dan kumpulkan.

Perkataan MUAMALAT itu bunyinya sangat suci, sangat baik dan sangat positif. Tapi setiap muamalat yang kita lakukan, belum tentu BERSIH dan MERDEKA.

Kadang kala disebabkan kedangkalan ilmu, kita rasakan yang HARAM itu HALAL manakala yang HALAL itu HARAM.

Kadang kala kerana kecetekan pengetahuan, kita rasakan sesuatu muamalat kita itu HARUS sedangkan ianya SYUBHAH.

Kadang kala disebabkan kekurangan maklumat, kita rasakan sesuatu perkara itu BETUL sedangkan ianya SALAH.

Malaysia negara MERDEKA, rakyatnya tidak dihalang mencari kekayaan. Namun ramai yang HATInya masih lagi DIJAJAH oleh cara fikir dan tindakan yang salah.

Masih ramai yang berkata; “Ahhh buat loan dengan Islamic Finance lagi teruk. Mahal. Menyusahkan. Cekik darah. Baik aku ambik yang konvensional, murah sikit. Nak buat macam mana… yang tu je aku mampu, rezeki aku dah banyak tu je…”

Seolah dalam erti kata lain “Riba pun riba lah, janji aku boleh hidup selesa di dunia. Untuk akhirat, pandai-pandailah aku buat amal ibadat…”. Adakah dia lupa, rezekinya itu Allah yang bagi, hukum haram riba tu Allah yang tetapkan. Hebat sangatkah amal ibadatnya sehinggakan dapat mengatasi kemurkaan Allah.

Kadang kala kita juga terdengar; “Kita kena ‘bagi sikit’ juga kat mereka ni… kalau tak, payah kita nak dapat projek.”

Bukankah kata-kata seperti itu suatu syirik yang dituturkannya tanpa dia sedari, seolah-olah rezeki itu datangnya dari makhluk? Lupakah dia pada rukun iman yang keenam iaitu ‘beriman kepada qada dan qadar?

Ataupun kita biasa dengar; “Alahhh, tak payah ikut faraid. TAK ADIL. Korang ikut cakap aku ni, baru betul. Korang apa tau, aku dulu makan garam dari korang…”

Na’uzubillah… Lupakah dia, Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. Macam mana suatu peraturan yang Allah dah tetapkan dikatakan tidak adil, mengaku pulak sesuatu yang dibuatnya lebih baik dari peraturan Allah.

Muhasabah diri… adakah HATI kita benar-benar MERDEKA?

Ramai yang merasakan sumber pendapatan mereka BERSIH SUCI, namun JIWA mereka KOTOR kerana mereka mencari kekayaan itu dengan tidak BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG (sama ada syara’ atau sivil).

Ada yang menjaja skim-skim yang MENJAMIN KEUNTUNGAN yang berlipatganda dalam masa yang sangat singkat. Ada yang menjual produk-produk yang TIDAK MENDAPAT PENGESAHAN pihak berwajib. Ada juga mereka yang menyediakan KHIDMAT YANG BAIK, tapi dengan cara yang salah (tipu tandatangan, tidak mendedahkan kekurangan serta memberi maklumat salah tentang khidmat yang disediakannya).

Ada yang bermuamalat dengan tidak disertakan ADAB & AKHLAK yang betul. Memburuk-burukkan pesaing, memaksa pelanggan membeli produk atau mengambil khidmat yang mereka sediakan, menyembunyikan fakta serta memberikan maklumat salah secara sengaja. Semua ini dilakukan kerana inginkan keuntungan material semata-mata, sehingga terlupa bahawa perbuatannya boleh menjadikan rezeki yang diperolehinya merubah menjadi rezeki yang meragukan.

Kepada yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan petikan-petikan Hadis, pastikan tahu apa yang diambil. Jangan gunakan sumber-sumber tanpa ilmu yang betul, semata-mata untuk mengaburi bakal pelanggan. Janganlah diambil ‘setompok-setompok’ yang dirasakan boleh ‘melariskan’ perniagaan  sahaja. Kongsikanlah sekadar ilmu yang ada, jangan ditokok tambah dan jangan sekali-kali mentafsirnya mengikut logik akal semata-mata. BERDAKWAH ITU BAIK, TAPI BERDAKWAH TANPA ILMU ADALAH SANGAT BAHAYA!!!

Yang paling menyedihkan, bila suatu muamalat yang dilakukan itu adalah muamalat yang TIDAK PATUH SYARI’AH. Mempromosikan muamalat yang tidak jelas proses dan tatacara kerjanya (gharar), terdapat unsur-unsur perjudian (maisir) dan ada amalan riba di dalamnya, akan membawa kepada kejatuhan dan kemusnahan kepada seluruh jamaah. Bila keberkatan hilang, kesucian akan menjadi cacat. Kesan negatifnya sangat luas dan apabila sudah menjadi ‘barah’, ‘mengubatinya’ menjadi seakan-akan mustahil. Maksiat dan dosa yang terhasil daripadanya akan semakin berkembang dan terus membiak sehingga sangat sukar DIBERSIHKAN lagi.

Muhasabah diri… pastikah JIWA kita benar-benar BERSIH?

Sempena Hari Kebangsaan dengan tema #sehatisejiwa tahun 2015 ini, bersama-samalah kita MERDEKAkan HATI dan BERSIHKANlah JIWA.

 

 

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN 2015…

 

Muzafar Ghazali
019-472 6752
Perancang Pusaka Islam
As-Salihin Trustee Berhad & Takaful IKHLAS Berhad

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan